Pages

Sunday 6 October 2013

MINYAK DAN KENAIKAN HARGA MINYAK !

Petrol ? Minyak ? apa yang kita tahu pasal bahan mentah ini. Apa  impak kenaikan minyak ini dalam ekonomi negara. Mungkin untuk generasi muda yang belum mempunyai kenderaan atau kerjaya macam aku masih belum terasa dengan  sebarang kenaikan bahan bakar ini.  Aku  teringin  untuk cerita dengan semua blogger pasal minyak dan isu kenaikan harga minyak ini.

 Untuk pengetahuan semua , petrol atau gasolin ialah campuran cecair bahan api yang diperolehi daripada petroleum yang terdiri terutamanya daripada hidrokarbon alifatik dan ditambah dengan hidrokarbon aromatik seperti toluena, benzena atau iso-oktana untuk meningkatkan penarafan oktana, digunakan secara meluas sebagai bahan api bagi enjin pembakaran dalaman. Ini merupakan serba sedikit pasal minyak petrol. Antara Negara-negara yang banyak dalam hasil petroleum ialah negara timur  tengah misalnya Arab Saudi, UAE, Qatar dan banyak lagi.

Baru – baru ini  kita dikejutkan  dengan  kenaikan  harga  minyak petrol. Peningkatan harga minyak telah menyebabkan banyak pihak bersuara membantah dan sebagainya. .  Fenomena ini telah mencetuskan kemarahan dan bantahan terhadap kerajaan pusat ekoran kenaikan tersebut.  Masalah ini juga kalau kita dapat lihat telah menjadi lebih besar apabila bercampur dengan isu politik yang melibatkan pihak kerajaan dan pembangkang.

Biasanya kenaikan  harga minyak seringkali dikaitkan dengan kenaikan harga barang. Hal ini kalau dilihat ada asasnya juga. Sebagai contoh, harga minyak yang meningkat sebanyak 20 sen ini akan menyebabkan kenaikan harga barang sehingga 40 % atau mungkin lebih. Harga barang berhubugan positif dengan harga minyak kerana dalam proses pembuatan barang perlu menggunakan minyak sebagai sumber utama. Di sini kita dapat lihat kesan kenaikan minyak menyebabkan kenaikan harga barang dan seterusnya menjejaskan ekonomi dan pembangunan negara.

Kenaikan harga minyak dan bakal diikuti dengan kenaikan harga barang ini turut akan menyumbang kea rah kemarahn rakyat seterusnya kecaman terhadap pihak kerajaan pemerintah. Dalam mana-mana kerajaan di dunia, kenaikan harga barangan asas mempunyai hubungan rapat dengan populariti kerajaan. Kerana konsepnya mudah sahaja, ‘semakin naik harga dan kos hidup, semakin tidak popular sesebuah kerajaan’.

            Dan dalam banyak-banyak keperluan asas, harga makanan dan petrol antara yang paling sensitif kepada pengguna. Buktinya, di negara seperti Indonesia dan Greece, kenaikan harga barangan menyebabkan rakyat yang berasa hidup mereka terhimpit memprotes dan bertindak hingga menjejaskan imej negara dan populariti kerajaan.
   

Minyak petrol RON95:                       RM2.10 seliter

Diesel                          :                       RM2.00 seliter

Menurut sumber yang saya dapati, kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95dan RM1 seliter bagi diesel. Jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion. Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini (peningkatan minyak sebanyak RM 0.20 seliter) bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 manakala 80 sen seliter bagi diesel. Walaubagaimanapun , pihak kerajaan harus melihat isu ini dengan lebih mendalam. Hal ini kerana kalau dapat kita ringkaskan kronologi hasil daripada peningkatan harga minyak ini adalah seperti berikut :




Rajah di atas jelas sekali menunjukan hubung kait secara terus antara kenaikan  harga minyak dan peningkatan kos hidup akibat peningkatan harga barangan. Sebagai langkah untuk menutup sedikit kekecohan dan kemarahan rakyat, pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk membantu menaikan BR1M (bantuan rakyat 1 Malaysia) pada bajet 2014 akan datang dengan tujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung isi rumah impak daripada kenaikan harga minyak. Namun, ada sesetengah pihak mengecam tindakan kerajaan tersebut dan menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan cuba menutup kelemahan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN). Jika kita perhatikan dengan teliti, kenaikan bantuan ini sebenarnya hanya dapat membantu menyelesaikan masalah ini untuk jangkamasa pendek sahaja.

Apabila berlaku kenaikan harga minyak di Malaysia atau sesebuah negara, ianya akan memberikan beban kepada rakyat dan ekonomi negara tersebut. Namun, jika berlaku kenaikan harga minyak dunia, kerajaan dan rakyat serta ekonomi sesebuah negara akan turut menanggung bebanan. Sebagai contoh, kenaikan harga bahan bakar minyak dunia akan mengakibatkan kenaikan jumlah subsidi minyak yang akan ditanggung kerajaan. Jumlah kenaikan subsidi minyak itu sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan negara. Selain itu, negara terpaksa memfokuskan untuk cara mengatasi masalah kenaikan harga minyak kerana segala hasil kerajaan digunakan untuk atasi kenaikan tersebut sekaligus menyebakan pembangunan Negara ditangguhkan.

Kenaikan harga minyak ini memang agak membebankan, meningkatkan kos sara hidup, dan berlaku kenaikan harga barang. Masalah ini memberikan kesan langsung melalui pelbagai aspek. Oleh demikian, kita semua perlu bersedia dan mengambil langkah lain bagi menghadapi kenaikan harga minyak yang semakin meruncing.

Antara langkah yang boleh diambil oleh rakyat sendiri dan kerajaan bagi meghadapi masalah kenaikan harga minyak ini adalah dengan menguruskan perbelanjaan dengan bijak. Individu atau isi rumah haruslah bijak mengawal dan menyusun semula kadar perbelanjaan mereka supaya pendapatan mereka masih mampu untuk menampung beban sampingan kenaikan harga minyak selaras degan pendapatan  masing-masing terutama golongan  berpendapatan rendah dan sederhana. Bagi pihak kerajaan  pula, jumlah subsidi dan bantuan  kepada rakyat perlu dihadkan pada tahap yang munasabah agar perbelanjaan kerajaan dapat dimanfaatkan secara lebih adil dan digunakan untuk pelbagai tujuan demi kebaikan  rakyat secara keseluruhan. 


 Secara kesimpulanya, apa yang saya dapat lihat kenaikan harga minyak yang berlaku ini sangat memberikan impak negatif kepada rakyat, ekonomi dan negara itu sendiri. Namun, kenaikan ini mungkin akan berlaku juga akan datang kerana sumber bahan mentah ini tidak akan selamanya wujud dan tidak akan tetap sampai bila-bila. Apa yang penting bagaimana tahap kesediaan kita dan kerajaan sendiri untuk menghadapi masalah kenaikan ini yang mungin akan berlaku lagi. Fikirkan jalan hari ini untuk langkah masa hadapan.

No comments:

Post a Comment